Berat sebelah terhadap kerajaan jejas kredibiliti, kumpulan sivik diberi amaran

Berat sebelah terhadap kerajaan jejas kredibiliti, kumpulan sivik diberi amaran

Chandra Muzaffar berkata, organisasi yang menunjukkan prejudis tidak boleh memainkan peranan membantu masyarakat memahami isu semasa.

Anggota masyarakat madani diingatkan supaya tidak menunjukkan sikap berat sebelah terhadap kerajaan yang baru dibentuk.
PETALING JAYA:
Aktivis sosial, Chandra Muzaffar, memberi amaran kepada anggota masyarakat madani supaya tidak menunjukkan sikap berat sebelah terhadap kerajaan yang baru dibentuk, dengan berkata kredibiliti mereka menjadi taruhan.

“Ia sudah pun berlaku,” katanya kepada FMT, mendakwa kumpulan sivik yang ‘menyerang’ Presiden Umno, Zahid Hamidi kerana mahu mengadakan PRU pada musim tengkujuh kini “sunyi sepi”.

“Ini menjadi masalah kerana ia menjejaskan kredibiliti dan kedudukan mereka dalam masyarakat,” katanya.

Chandra, seorang ahli sains politik, berkata kumpulan yang membentuk masyarakat madani memainkan peranan penting membantu orang ramai memahami isu semasa tetapi tidak lagi dapat memenuhi fungsi itu jika mereka menunjukkan sikap prejudis.

Chandra Muzaffar.

“Apabila anda tidak dapat membantu masyarakat memahami isu yang membelenggu negara, anda tidak dapat menyumbang kepada memberi pencerahan dan mengembangkan masyarakat,” katanya.

Isnin lepas, penasihat Suaram, Kua Kia Soong, mendakwa anggota masyarakat madani kelihatan senyap berhubung isu membabitkan Pakatan Harapan (PH).

“Integriti awam sedang diuji,” katanya.

Merujuk kepada kumpulan sivik yang meminta Zahid dikecualikan daripada Jemaah Menteri baharu, beliau berkata, mereka tidak membuat gesaan serupa apabila Dr Mahathir Mohamad memasukkan pemimpin DAP, Lim Guan Eng, dalam Jemaah Menteri.

Pada masa itu, Lim berdepan tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di Pulau Pinang. Kua bertanya mengapa tiada penjelasan dituntut berhubung keputusan Jabatan Peguam Negara menggugurkan tuduhan terhadap Lim.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat, yang tidak bersetuju dengan Kua, berkata kumpulan sivik seperti Bersih konsisten bersuara mengenai isu berkait kepentingan awam. Beliau memberi contoh gesaan agar peranan pendakwa raya dan peguam negara dipisahkan.

Wong berkata, akan sentiasa ada orang dalam mana-mana masyarakat yang mahu membalas dendam dan juga golongan yang akan mempertahankan dwistandard.

Beliau berkata, masyarakat hanya dapat mara selepas punca struktur diatasi.

“Dalam kes Lim, Jabatan Peguam Negara ada memberikan penjelasan tetapi perkara ini masih diperkatakan,” katanya.

“Ini membuktikan bahawa isu itu wujud dalam struktur institusi, mengatasi merit atau demerit sesuatu kes.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.