Perkenal Akta Antikebencian, bendung sentimen kaum, kata pemimpin PKR

Perkenal Akta Antikebencian, bendung sentimen kaum, kata pemimpin PKR

Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, akta ini akan diguna pakai kepada mana-mana pemimpin politik tanpa mengira parti, yang mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian.

Cadangan itu susulan tuduhan dilemparkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional terhadap kerajaan Anwar Ibrahim yang baru dibentuk minggu lalu, kata Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung.
PETALING JAYA:
Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung menggesa Akta Antikebencian diperkenalkan bagi membendung sentimen perkauman.

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu berkata, akta ini akan diguna pakai kepada mana-mana pemimpin politik tanpa mengira parti, yang mengeluarkan kenyataan berbaur kebencian.

“Mereka akan dikenakan tindakan sekiranya mengeluarkan kenyataan bersifat menabur kebencian tanpa asas,” kata Lee dalam kenyataan di Facebook.

Cadangan ini susulan tuduhan dilemparkan beberapa pemimpin Perikatan Nasional terhadap kerajaan Anwar Ibrahim yang baru dibentuk minggu lalu, katanya.

“Kali ini, agak ganjil apabila sentimen ini hanya dipermainkan oleh Presiden PAS sendiri, iaitu Abdul Hadi Awang. Saya melihatkan ini percubaan beliau untuk mengukuhkan sokongan asas mereka,” katanya.

Sebelum ini, Hadi mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia, selain mempersoalkan kredibiliti Anwar sama ada cukup syarat atau sebaliknya untuk memegang jawatan nombor satu negara itu.

Katanya, Anwar pernah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah atas kesalahannya dan meminta pengampunan.

“Kita tak tahulah yang jadi ketua kerajaan minoriti ini cukup syarat ke tidak tak tahu, bekas dihukum oleh mahkamah kerana kesalahan-kesalahannya dan diminta pengampunan. Kalau dia tak salah mengapa minta pengampunan? Ini boleh jadi ketua negara?” kata Hadi dipetik Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR dan Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil berkata, negara memerlukan kerangka kawal selia lebih ketat terhadap penyebaran berita palsu dan ekstremisme, khasnya dengan kewujudan pelbagai platform media sosial.

“Ini untuk memastikan proses demokrasi, terutama pilihan raya tidak dicemari bahan yang mampu merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.” katanya dalam catatan Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.