
Dalam ucapan pertamanya kepada penjawat awam semalam, Anwar berkata, proses perolehan kerajaan tidak lagi boleh dijalankan tanpa mengeluarkan tender supaya rasuah dan ketirisan dapat dicegah.

Presiden Transparency International-Malaysia (TI-M), Muhammad Mohan, menyifatkannya sebagai langkah baik bagi menyamakan kedudukan dan menggalakkan ketelusan, pembidaan kompetitif serta tadbir urus yang baik, namun katanya, langkah selanjutnya diperlukan untuk mengurangkan rasuah.
“Selepas perolehan selesai menerusi proses tender yang betul, pelaksanaan projek itu penting,” katanya kepada FMT.
“Projek mesti dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan mengikut bajet, dengan perkembangannya dipantau dengan dekat serta tindakan segera diambil jika sebarang isu timbul.”
Beliau berkata, penting juga untuk mempertanggungjawabkan pihak yang menyelia projek jika berlaku ketirisan dana.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, menganggap perolehan kerajaan sebagai antara paling terdedah kepada rasuah, dengan kira-kira 42.8% aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkait dengannya.
Beliau menggesa Anwar menggubal undang-undang berhubung akses bebas kepada maklumat dan menubuhkan panel ombudsman perkhidmatan awam sebagai langkah jangka panjang untuk menjamin ketelusan dalam perolehan kerajaan.
“Ini akan membolehkan aduan diterima dalam masa nyata dan isu dalam perolehan dapat diselesaikan segera,” katanya.