BN beri bayangan PH tanding di Padang Serai, kata Amirudin

BN beri bayangan PH tanding di Padang Serai, kata Amirudin

Tetapi, naib presiden PKR itu mendakwa calon BN, C Sivaraj berkeras mahu bertanding di kerusi Parlimen itu.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan bersaing dalam pertandingan enam penjuru di Parlimen Padang Serai pada 7 Dis ini.
SHAH ALAM:
Barisan Nasional (BN) memberi bayangan untuk calon Pakatan Harapan (PH) bertanding di Parlimen Padang Serai, kata Naib Presiden PKR, Amirudin Shari.

Tetapi katanya, calon BN, C Sivaraj berkeras mahu bertanding di kerusi itu pada 7 Dis ini.

“Dua hari lepas, PH ada mesyuarat Majlis Presiden, saya tak dimaklumkan kedudukan itu, tapi yang pastinya BN telah memberikan bayangan, tapi nampaknya calon (BN) tersebut masih lagi berkempen dan juga bertegas.

“Malah ada beberapa (pemimpin Umno) mereka yang cuba melawan Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi), berkempen untuk dia (calon BN).

“Tapi tak apalah, itu biar kita tangani dan hadapi. Tapi potensi kita di Padang Serai ada lagi,” kata menteri besar Selangor itu selepas menghadiri Majlis Pra Pelancaran Aplikasi Halal Sel di Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ini menyusul sehari selepas PH memutuskan menarik calonnya daripada bertanding di kerusi DUN Tioman dan akan berkempen untuk calon BN.

Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli berkata, ini seiring kerjasama PH dan BN di peringkat persekutuan serta negeri, dengan dua gabungan itu bekerjasama untuk membentuk kerajaan persekutuan dan Pahang.

Ahad lalu, Sivaraj dilaporkan berkata, beliau merasakan tidak adil untuk memberi laluan kepada PH di kerusi itu dan sebaliknya meminta calon PH, Sofee Razak memberi laluan kepadanya memandangkan beliau “bekerja keras” di kawasan itu selama tiga tahun.

Kerusi Padang Serai menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Sivaraj, Sofee, Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.