
Calon PH Parlimen Padang Serai, Sofee Razak, berkata jika pertembungan berlaku sesama gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan itu, beliau tidak punya pilihan kecuali terus bekerja keras demi memastikan kawasan itu kekal bersama PH.
“Satu tugas besar kepada saya untuk memastikan PH menang di sini dan teruskan kecemerlangan ditinggalkan mendiang M Karupaiya. Seperti mana yang berlaku di DUN Tioman, PH kompromi kepada BN. Cuma kita harap perkara itu boleh berlaku juga di Padang Serai iaitu BN beri peluang kepada PH.
“Namun, kalau berlaku pertembungan (antara PH dan BN) pada pandangan saya, kami kena kerja lebih kuat untuk PH menang,” katanya menurut Berita Harian.
Terdahulu, calon BN Parlimen Padang Serai, C Sivaraj merasakan tidak adil untuknya memberi laluan kepada PH di kerusi terbabit, sebaliknya meminta Sofee yang didakwa baru tiba di Padang Serai memberi laluan kepadanya memandangkan beliau sudah tiga tahun “bekerja keras” di kawasan itu.
Semalam, PH mengambil keputusan memberi laluan kepada calon BN bagi pilihan raya DUN Tioman sebagai tanda kesepakatan kerajaan perpaduan di peringkat negeri dan nasional.
Setiausaha Agung Amanah, Hatta Ramli, berkata bagi memenangkan calon BN Mohd Johari Hussain yang akan mewakili kerajaan perpaduan, jentera pilihan raya PH akan bergerak secara bersama dalam setiap kempen BN.
Sofee ketika mengulas lanjut berkata, pihaknya belum mengadakan sebarang perbincangan bersama BN berhubung perkara itu setakat ini, namun keputusan mengenainya perlu dibuat pucuk pimpinan PH dan BN di peringkat pusat.
Selain Sofee dan Sivaraaj, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon Perikatan nasional (PN) Azman Nasrudin, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).