
Kemunculan Azmin hari ini sehari selepas Speaker DUN Ng Suee Lim membuat teguran kepada beberapa ADUN yang tidak hadiri sidang berkenaan yang bermula sejak 23 Nov lalu.
Terdahulu Azmin yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan Industri dilihat berada di dalam sidang DUN Selangor apabila bangkit mencelah mengajukan soalan tambahan kepada Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Azmin bertanyakan langkah diambil kerajaan negeri untuk memastikan tenaga pekerja tempatan di Selangor dapat memenuhi permintaan industri pada hari ini seperti ekonomi digital dan sektor-sektor baharu selain usaha kerajaan negeri untuk menjajarkan usaha selari dengan dasar pelaburan negara yang memberikan tumpuan kepada lima sektor utama iaitu automotif, farmaseutikal, E&E digital dan industri kimia.
“Saya percaya kalau langkah ini dapat diselarikan, ianya pasti dapat memenuhi hasrat kita pada pagi ini untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak Selangor yang berkualiti dan berpendapatan tinggi untuk menjamin masa depan mereka,” katanya.
Azmin juga berkata, langkah untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu dalam kalangan anak muda dan rakyat boleh mengekalkan Selangor sebagai hub pelaburan di rantau ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Bandar Baru Klang dan Invest Selangor yang sentiasa menjalinkan kerjasama yang cukup baik dengan MIDA. Ini bagi memastikan pelaburan-pelaburan berteknologi tinggi dapat masuk ke dalam Selangor dengan harapan dapat mencipta peluang pekerjaan baharu yang bukan sahaja berteknologi tinggi bahkan berkemahiran.
“Tetapi hasrat Dewan ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga pekerja asing,” katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, Azmin gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gombak selepas tewas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari daripada Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 12,729 undi.