Ragut rantai RM10,000, penghantar surat dipenjara 3 tahun

Ragut rantai RM10,000, penghantar surat dipenjara 3 tahun

Hasil siasatan mendapati tertuduh menjual rantai leher itu di sebuah kedai emas pada harga RM5,500.

Hakim menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulizan Johari, 41, yang menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes hari ini. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Seorang penghantar surat dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana meragut seutas rantai leher emas seorang wanita membabitkan kerugian RM10,000 dua bulan lepas.

Hakim Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas Zulizan Johari, 41, yang menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan semula kes itu hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 23 Sept lepas.

Zulizan didakwa meragut seutas rantai leher emas dengan tujuan hendak menyamun dan sengaja menyebabkan ketakutan terhadap tukang cuci, Shaleena Mohd Shah, 49, di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini pada 9 malam 20 Sept lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh mencekik wanita itu lalu meragut rantai leher bernilai RM10,000 yang dipakai mangsa. Hasil siasatan mendapati tertuduh kemudian menjual barang kemas itu di sebuah kedai emas pada harga RM5,500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.