
Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Prolintas, Badri Ibrahim, berkata antara kelestarian sudah dilaksanakan antara penghadang bunyi lebuh raya pertama tertutup sepanjang 260m di Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), yang merentasi bangunan kediaman bertingkat tinggi, di Damansara Perdana.
Selain itu, Prolintas juga menggunakan motosikal elektrik bagi tujuan rondaan bagi kegunaan Polis Bantuan dan peronda, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon.
“Penghadang bunyi dipasang di sepanjang kawasan terpilih di lebuh raya yang terdiri daripada pelbagai jenis seperti kepungan separuh atau penuh, dengan mengambil kira kewujudan infrastruktur mobiliti dan komuniti yang tinggal berdekatan atau bersebelahan dengan jajaran lebuh raya.

“Prolintas ialah syarikat pengendali lebuh raya pertama di Malaysia yang menggunakan motosikal elektrik untuk memantau lebuh raya, bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon dengan alternatif tanpa pembakaran bahan api dan pelepasan karbon ke udara.
“Terdapat 18 motosikal elektrik dimiliki Prolintas dan telah berjaya menjimatkan sehingga 4.3 liter bahan api bersamaan dengan 36 tan pengurangan pelepasan karbon,” katanya sambil menyatakan Prolintas turut mengambil bahagian dalam penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022, di Port Dickson, bermula 24 hingga 30 Nov.
MSAM 2022 berlangsung di kawasan lapang Pantai Batu 1, Port Dickson dari 10 pagi hingga 10 malam dengan kemasukan percuma.
Beliau ketika mengulas lanjut, berkata kaedah penampalan atau “carpet patching” yang memberikan hasil lebih baik dan kemas berbanding kaedah tradisional turut dipamerkan pada MSAM.
“Campuran bahan penurap pada tampalan permukaan jalan yang tahan lama memastikan tahap geseran dan cengkaman tayar yang baik,” katanya.
Katanya, Prolintas juga ada menempatkan mesin kompos sisa makanan, selain penggunaan robot penghantar makanan.

“Mesin mengompos sisa makanan digunakan untuk mengumpul sisa makanan dan kemudian diproses menjadi baja organik yang sangat berguna untuk tanaman landskap di sepanjang lebuh raya,” katanya.
Badri ketika mengulas lanjut, berkata robot pula digunakan di kawasan rehat dan rawat Elmina dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna yang singgah menjamu selera sejajar amalan norma baharu.
Katanya, hampir semua lebuh raya dikendalikan Prolintas menggunakan lampu LED demi mengurangkan penggunaan tenaga, selain kadar kecerahan pencahayaan dipertingkat.
Prolintas merupakan syarikat pemegang pelaburan milikan bersama Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 47% dan Amanah Saham Bumiputera (ASB), 53%.
Selain GCE dan DASH, Prolintas juga merupakan pengendali di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH); Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA); Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).