
Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata demikian dalam sebutan kes di hadapan Hakim Zaini Mazlan.
“Kami memerlukan masa 12 ke 14 hari untuk membentangkan kes,” katanya.
Dalam maklum balas, Zaini menekankan bahawa kes terbabit sudah tertangguh selama empat tahun di mahkamah.
“Beri kes ini keutamaan, ini kes 2018,” katanya sambil menyatakan mahkamah berhasrat menetapkan tarikh pendengaran pada Februari.
Peguam Revin Kumar yang mewakili Rosmah memberitahu mahkamah beliau perlu mendapatkan arahan seterusnya daripada peguam utama Geethan Ram Vincent berhubung penetapan tarikh bicara.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 1 Dis, justeru membolehkan pihak pembelaan dan pendakwaan memberi kemas kini sama ada perbicaraan boleh dimulakan pada Februari.
Rosmah, isteri bekas perdana menteri Najib Razak, berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta, dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Dia sebelum itu gagal dalam permohonan menggugurkan Zaini daripada mendengar kes dihadapinya atas alasan wujud kemungkinan berat sebelah. Rayuan berhubung keputusan itu masih berjalan di Mahkamah Rayuan.
Zaini ialah hakim yang mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkait projek tenaga solar sekolah Sarawak bernilai RM1.25 bilion pada 1 Sept.
Mahkamah memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tuduhan dan mengarahkan hukuman berjalan serentak.
Dia juga dikenakan denda RM970 juta. Jika gagal membayar denda, dia dikehendaki menjalani hukuman penjara 10 tahun lagi selepas selesai tempoh penjara 10 tahun penjara terdahulu.
Rosmah dilepaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan.