
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa turut berpandangan sedemikian hasil kefahaman dipersetujui.
Bagaimanapun, beliau tidak pasti mengapa ada pihak mengharapkan kerajaan diterajuinya akan “runtuh” selepas enam bulan, katanya.
“Malah saya dimaklumkan, siang tadi (semalam) ada mesyuarat pertama PH di Ipoh, Perak buat kali pertama pasca pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Saya difahamkan Pengerusi PH Perak Mujahid Yusof Rawa dalam perjumpaan itu bertekad untuk memastikan kerajaan ini sehingga akhir penggal,” katanya, menurut Harian Metro.
Saarani berkata, PH yang mempunyai jumlah kerusi lebih banyak tidak mahu berlaku sebarang perubahan kerajaan, jadi BN yang hanya ada sembilan kerusi tidak mungkin ingin “meruntuhkannya”.
“Kita sambut baik dan sebab itu kita sudah setuju untuk tubuh kerajaan bersama, malah saya berharap tidak ada orang yang berdoa kerajaan ini jatuh dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Saarani berkata, kerajaan yang terdiri daripada dua kumpulan berbeza tetapi dapat mencapai kata sepakat ialah petanda baik buat negeri itu.
“Kita ada agenda lapan tahun untuk bangunkan negeri ini dan saya juga ada memaklumkan dalam mesyuarat Exco hari itu, kita meraikan perbezaan pendapat apatah lagi kerajaan dibina dalam dua kumpulan berbeza tetapi dapat duduk semeja, pada saya ia satu petanda baik buat rakyat Perak,” katanya.