
Yang Dipertua Badan Peguam Karen Cheah, Naib Yang Dipertua Ezri Abdul Wahab, Setiausaha Anand Raj dan Bendahari Murshidah Mustafa mendakwa polis telah melanggar peruntukan bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan mengenakan syarat yang menyalahi undang-undang untuk menghalang acara itu pada 17 Jun.
Acara itu dianjurkan Badan Peguam untuk menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung dakwaan ugutan terhadap badan kehakiman, khususnya melalui siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali.
Dianggarkan seramai 500 orang peguam berkumpul di Padang Merbok pada acara itu untuk berarak ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum menggesa kerajaan agar menegakkan kebebasan kehakiman.
“Polis mempunyai kewajipan untuk memudahkan perhimpunan selepas dimaklumkan mengikut Akta Perhimpunan Aman tetapi sebaliknya, mereka menghalang acara tersebut,” kata mereka dalam pernyataan tuntutan.
Mereka menamakan Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, pegawai polis Nuzulan Din serta Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai defendan bersama.
Menurut Badan Peguam, polis tidak mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat bawah undang-undang.
Selain itu, mereka mendakwa polis telah melanggar hak perlembagaan mereka dengan menghentikan acara tersebut dan “menahan (mereka) secara salah” selama 30 minit.
Mereka juga mendakwa telah dihalang daripada meninggalkan tempat letak kenderaan di Padang Merbok.
“Bilangan pegawai polis melebihi jumlah plaintif dan mereka membentuk rantaian manusia bagi menghalang plaintif meninggalkan tempat letak kenderaan.
“Mereka turut menghalang plaintif dan peserta daripada bergerak ke mana-mana dan, akibatnya, plaintif dan peserta ‘terkurung’ di tempat letak kenderaan itu,” kata mereka.
Mereka menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan serta RM19,949 sebagai ganti rugi khas, iaitu kos yang dibelanjakan oleh Badan Peguam untuk mencetak plakad, sepanduk, topi, butang, lencana dan lain-lain.
Mahkamah Tinggi menetapkan 12 Jan untuk pengurusan kes seterusnya.
Ahli Badan Peguam Malaysia telah berunding dengan polis di tempat kejadian tetapi perbincangan gagal selepas pihak berkuasa berkata hanya 20 peguam dibenarkan berarak ke bangunan Parlimen, syarat yang ditolak oleh Badan Peguam.
Peguam terbabit cuba meneruskan perarakan namun gagal melepasi halangan polis di bahagian hujung tempat letak kenderaan itu.
Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan undang-undang) ketika itu, Mas Ermieyati Samsudin kemudiannya tiba di lokasi dan menerima memorandum daripada Cheah. Beliau memaklumkan akan menyerahkannya kepada perdana menteri pada masa itu, Ismail Sabri Yaakob dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.