2 cedera, tabung NGV lori meletup di stesen minyak

2 cedera, tabung NGV lori meletup di stesen minyak

Mangsa cedera ialah pemandu lori berusia 64 tahun dan pekerja stesen minyak berusia 57 tahun.

Kaca dinding stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn di Johor Bahru pecah akibat letupan ketika gas diisi dalam tabung NGV sebuah lori. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas antara dua yang cedera selepas tabung gas asli (NGV) sebuah lori meletup di sebuah stesen minyak dekat Kawasan Perindustrian Dato Onn, Jalan Langkasuka di Johor Bahru.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Mohd Faiz Suleiman berkata, dua lelaki itu cedera terkena serpihan tabung NGV yang meletup itu kira-kira 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, rawatan diberikan kepada pemandu lori berusia 64 tahun itu yang cedera ringan di tangan, manakala pekerja stesen minyak berusia 57 tahun yang cedera, dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Katanya, sebuah teksi yang berada di stesen minyak itu, bangunan stesen minyak dan sebuah asrama pasar raya berdekatan turut rosak akibat letupan berkenaan.

“Selepas menerima panggilan kecemasan pada 12.05 tengah hari, 14 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Letupan berlaku ketika pengisian gas ke dalam tabung tong NGV itu.

“Seorang lagi pekerja stesen minyak, iaitu wanita berusia 37 tahun dilaporkan selamat, namun trauma,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.