Anwar batal pembelian Mercedes S600 ditempah perdana menteri terdahulu

Anwar batal pembelian Mercedes S600 ditempah perdana menteri terdahulu

Pembatalan itu dibuat setelah semakan terperinci sama ada tempahan itu boleh dibatalkan atau sebaliknya dilakukan.

Anwar Ibrahim berkata, tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabat bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim memaklumkan telah membatalkan pembelian kenderaan mewah jenis Mercedes S600 yang dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan rasmi.

Katanya, pembatalan itu dibuat selepas semakan terperinci sama ada tempahan itu boleh dibatalkan atau sebaliknya dilakukan.

“Kereta Mercedes tak sampai, saya pakai kereta ini (Toyota Camry) okay kan? Mana-mana kereta yang ada,” katanya merujuk kepada kenderaan yang sedang digunakan beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR.

Anwar memaklumkan, tempahan Mercedes S600 sebelum ini ditempah ketika zaman perdana menteri sebelum ini.

“Sebenarnya ini (Mercedes S600) dipesan oleh perdana menteri yang lalu, tapi saya check (periksa) tengok boleh tak batal, sempat batal,” katanya.

Memetik Berita Harian, model kereta berkenaan telah dicadangkan sewaktu pentadbiran bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin dan diluluskan ketika kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob.
Anwar sebelum ini berkata tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.

Beliau juga dilaporkan menolak untuk menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan rasmi perdana menteri sebelum beliau memasuki pejabat.

Susulan itu, bekas pengarah bahagian komunikasi pejabat perdana menteri era pentadbiran Ismail Sabri Yaakob, Ruhaidini Abd Kadir memaklumkan tindakan Anwar menolak menggunakan kenderaan rasmi baharu bukanlah perkara luar biasa kerana perkara yang sama pernah dilakukan Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.