6,000 hektar tanah kerajaan di Terengganu diteroka secara haram

6,000 hektar tanah kerajaan di Terengganu diteroka secara haram

Kira-kira 3,000 daripada jumlah itu pula diberi kelulusan sementara kepada lebih 200 peneroka bagi tujuan pertanian tanaman kontan dan sawit.

Sebahagian daripada tanah yang diteroka secara haram itu diberi kelulusan sementara kerana tidak mahu memusnahkan kebun atau ladang diusahakan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hampir 6,000 hektar tanah milik kerajaan Terengganu dikesan diteroka secara haram melibatkan daerah Setiu dan Dungun sejak tahun 2018.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, lebih 200 peneroka diberi kelulusan sementara untuk meneroka 3,000 hektar tanah di Setiu

Katanya, semua tanah itu digunakan bagi tujuan pertanian tanaman kontan dan sawit, menurut Astro Awani.

Menurutnya, untuk menyelesaikan isu penerokaan tanah haram itu, kerajaan negeri ambil satu pendekatan harmoni di atas beberapa justifikasi.

“Adalah tidak begitu bijak kalau sekiranya kita nak musnahkan kebun atau ladang yang sedang diusahakan oleh rakyat.

“Dalam masa yang sama kita tengok tanah-tanah ini menghasilkan sesuatu. Cuma oleh kerana dia diteroka dengan cara yang tidak sah maka kita perlu halalkan ia,” katanya.

Menurutnya, bagi tanaman kontan, Setiu dijadikan sebagai projek perintis dan diberi kelulusan sementara kepada peneroka itu melalui lesen menduduki sementara.

Manakala tanaman sawit pula dipajak kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu sebelum disenarai secara ‘sublist’ kepada peneroka selama tempoh 25 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.