3 maut, 5 cedera kereta bertembung van

3 maut, 5 cedera kereta bertembung van

Kesemua yang maut bekerja sebagai tukang gunting dan sedang dalam perjalanan dari Kluang menghala Renggam.

Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh, berkata kemalangan maut itu berlaku ketika hujan renyai selepas Proton Wira disyaki telah hilang kawalan masuk ke laluan van lalu berlanggar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga lelaki maut selepas Proton Wira dinaiki hilang kawalan lalu bertembung sebuah van di kilometer (KM) 15, Jalan Kluang – Teck Wah Hing, di Kluang petang tadi.

Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh, berkata ketiga-tiga mangsa yang bekerja sebagai tukang gunting rambut bersama seorang lagi yang parah dalam perjalanan dari Kluang ke Renggam.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah van dari arah Renggam menghala ke Kluang manakala Proton Wira dinaiki mangsa dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Wira disyaki telah hilang kawalan dan masuk laluan van lalu berlanggar.

“Akibat dari pelanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang Proton Wira mengalami kecederaan yang teruk dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya lapor Berita Harian.

Bahrin berkata, penumpang hadapan Proton Wira pula disahkan meninggal dunia di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (HEBHK) Kluang.

Katanya, mangsa yang juga pemandu kereta meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dikenali sebagai Muhammad Haziq Haiqal Mohd Faizal, 20.

“Penumpang hadapan, Ariffudin Khairum Ab Ghafar, 21, yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di HEBHK semasa menerima rawatan.

“Penumpang belakang, Muhammad Khairil Rosli, 17, yang parah di bahagian kepala turut meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, penumpang belakang iaitu Muhd Haziq Kamarul Azhar, 17, kini sedang menerima rawatan di zon kuning hospital yang sama akibat patah kaki kiri.

beliau berkata, pemandu van berusia 43 tahun bersama isterinya berusia 42 dan dua anak mereka masing-masing berusia 15 dan 11 tahun yang turut cedera menerima rawatan di HEBHK.

“Pemandu dan semua penumpang Proton Wira bekerja sebagai tukang gunting rambut di Kluang,” katanya sambil memaklumkan kejadian berlaku ketika hujan renyai.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.