
Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, berkata pasukan terbabit telah mengadakan operasi tertentu untuk mengawasi pencerobohan daripada individu yang mengambil peluang menebang hutan secara haram.
“Pernah suatu ketika dahulu, kita (kerajaan negeri) meminta kerjasama daripada pihak tentera dan pihak berkuasa lain untuk menjaga hutan selain melakukan operasi bagi mengelak daripada individu yang hendak menembak binatang liar dan sebagainya,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) berkenaan usaha dibuat kerajaan bagi menangani pencerobohan hutan secara haram di negeri ini pada persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim.
Ahmad berkata, kerajaan negeri menerusi jawatankuasa kecil perhutanan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera serta risikan terhadap pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan.