Calon BN sambut baik kesediaan PH beri laluan di Tioman

Calon BN sambut baik kesediaan PH beri laluan di Tioman

Calon BN Mohd Johari Hussain berkata perkara itu melambangkan kematangan politik yang tinggi susulan keputusan PH memberikan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan Pahang.

Calon BN Mohd Johari Hussain (kiri) berkata tawaran calon PH, Mohd Fadzli Mohd Ramly dibincangkan di peringkat kepimpinan negeri namun tiada keputusan setakat ini.
ROMPIN:
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada PRU15 Mohd Johari Hussain menyambut baik kesediaan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly untuk memberikan laluan kepadanya, jika diarahkan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Johari berkata, perkara itu melambangkan kematangan politik yang tinggi susulan keputusan PH memberikan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan Pahang, selain mengambil kira perkembangan politik di peringkat Pusat.

“Saya mengambil positif dengan kenyataan yang dibuat rakan-rakan di PH yang memberi sokongan kepada saya dalam memastikan hala tuju kerajaan Pahang ditunjangi BN untuk membentuk kerajaan baharu.

“Ini kita boleh katakan sebagai kerajaan perpaduan yang sangat harmoni,” katanya kepada Bernama pada sesi walkabout di pasar minggu Rompin.

Johari berkata, beliau difahamkan perkara itu telah dibincangkan di peringkat kepimpinan negeri namun tiada keputusan setakat ini.

Sebelum ini, Fadzli menyatakan kesediaan memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan Majlis Presiden PH bagaimanapun tiada arahan rasmi dikeluarkan setakat ini.

Keputusan PRU15 menyaksikan DUN Pahang tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan.

BN meraih 16 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

Sehubungan itu, Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari berkata mereka memberi sokongan rasmi kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Dis ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Selain Fadzli dan Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN Nor Idayu Hashim, Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.