
Ahli Parlimen PH juga mesti mengisytiharkan harta pasangan masing-masing dan ahli keluarga berusia 18 tahun ke atas sebagaimana dijanjikan dalam manifesto.
Gomez yang juga pengerusi pusat memerangi rasuah dan kronisme (C4) memberitahu FMT, berkata pengisytiharan dibuat keluarga itu menjadikan harta tidak dapat diselindungkan melalui pemindahan dibuat kepada ahli keluarga terdekat.
Beliau berkata, mengisytiharkan harta tidak sepatutnya menjadi amalan sekali sahaja selepas pilihan raya atau seseorang itu dilantik memegang jawatan menteri. Pengisytiharan harta perlu dilakukan setiap tahun, justeru rakyat dapat menentukan sekiranya ada kemewahan dikumpul ketika dalam jawatan.
Gomez melihat pilihan raya umum yang baharu selesai sebagai “pertempuran pilihan raya melibatkan ramai jutawan”, hanya berdasarkan calon yang mengisytiharkan harta sebelum pilihan raya umum lagi.
Walaupun tidak menjadi kesalahan menjadi seorang hartawan, adalah penting untuk mengetahui sumber kekayaan itu, katanya.
Gomez menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengarahkan semua Ahli Parlimen dari gabungan berasingan yang menyokong kerajaan juga melakukan perkara sama.
“Memandangkan kerajaan dibentuk turut melibatkan banyak parti yang mana ada ahlinya terkait dakwaan rasuah serius, pastinya ia perkara mustahak.”
Semasa pilihan raya umum ke-15, calon dari PKR, Muda dan PSM ada mengisytiharkan harta mereka.
DAP berkata, hanya mereka yang menjadi calon dan menang diperlukan mengisytiharkan aset, manakala PAS merujuk tindakan isytihar harta sebagai “bodoh”.
Perikatan Nasional (PN) berkata calonnya hanya akan membuat pengisytiharan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika gabungan itu berkuasa dan Ahli Parlimennya dilantik sebagai menteri.
Calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin, juga mengambil pendirian sama.