Perkara berkait dasar luar Malaysia dalam radar Anwar, kata pakar

Perkara berkait dasar luar Malaysia dalam radar Anwar, kata pakar

Pakar berkata perdana menteri memberi isyarat akan memantapkan hubungan antara Malaysia-China, selain mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara lain.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sudah menyatakan kepentingan mengukuhkan hubungan dengan China yang disifatkan sebagai ‘jiran penting, kata penganalisis.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi penekanan berhubung hala tuju dasar luar Malaysia ketika sidang akhbar pertamanya, kata seorang penganalisis.

Thomas Benjamin Daniel daripada Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, berkata Anwar menyatakan kepentingan untuk mengukuhkan hubungan dengan China yang disifatkan sebagai “jiran penting”.

Beliau berkata, Anwar memberi isyarat akan berusaha memperkasakan hubungan antara Malaysia-China, selain mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi utama lain seperti Amerika Syarikat, negara Eropah, India dan Asean.

“Adalah baik bahawa Anwar telah memberi isyarat pengiktirafannya terhadap hubungan dua hala dengan semua pihak,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, pakar hubungan antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong berkata, Anwar perlu bersikap cermat dalam menguruskan hubungan antara Malaysia dengan China.

Beliau berkata, ia jelas bahawa perdana menteri sedar kepentingan China terutama melibatkan hal ehwal ekonomi dan keselamatan.

“Sekiranya pendekatan dan skop hubungan dengan China tidak dikendalikan dengan baik, berjuta-juta nyawa dan mata pencarian akan terjejas, termasuk pemain minyak sawit dan pemegang saham serta banyak lagi dalam keseluruhan spektrum ekonomi,” katanya.

Justeru, beliau percaya perkara ini memerlukan kepelbagaian melibatkan kerjasama yang lebih erat dengan negara-negara besar lain serta jiran tetangga di rantau ini.

“(Tentunya) beliau (Anwar) akan memperluaskan proses kepelbagaian pergantungan ekonomi dan perdagangan kita dengan pemain ekonomi utama lain di Asean, India, dan Amerika dalam mempelbagaikan ekonomi kita dengan pelbagai negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.