Pemimpin Hamas ucap tahniah Anwar dilantik PM

Pemimpin Hamas ucap tahniah Anwar dilantik PM

Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh mengingati pendirian Anwar Ibrahim menyokong perjuangan rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati.

Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, di Istana Negara, pada Khamis. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh mengucapkan tahniah kepada Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai perdana menteri Malaysia ke-10.

Dalam surat ucapan tahniahnya, Ismail mengharapkan sokongan berterusan Anwar terhadap perjuangan Palestin dan mendoakan kejayaan beliau memimpin Malaysia dan perjuangan untuk umat Islam serta rakyat.

“Sambil kami mengucapkan tahniah kepada Tuan Yang Terutama, kami mengingati dengan penuh rasa bangga atas pendirian anda untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang diberkati,” katanya.

“Kami berharap dapat meneruskan usaha ini dengan pendirian lebih berani dan tabah sehingga rakyat kami memperoleh hak penuh, negara kami dibebaskan daripada penjajahan kejam dan negara Palestin yang merdeka diwujudkan dengan Al-Quds sebagai ibu kota kekal,” katanya dalam surat bertarikh 24 Nov.

Salinan surat itu dikongsikan kepada media Malaysia lewat Jumaat.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara di sini, pada Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.