
Seramai 260 polis daripada 30 pasukan dikerah ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur ekoran poster “Himpunan Selamatkan Umno” yang tersebar di media sosial, selain tanda pagar “#UndurZahid”.
Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata 16 pasukan digerakkan dari Bukit Aman manakala selebihnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Kami akan terus memantau keadaan sehingga kami berpuas hati tidak ada risiko keselamatan,” katanya kepada pemberita.
Polis dilihat meronda bangunan itu, selain wartawan yang menunggu sejak 2 petang.
Difahamkan tunjuk perasaan itu dirancang oleh ahli Umno yang tidak berpuas hati dengan kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan.