Kes mahkamah ahli politik perlu disambung tanpa tangguh, kata C4

Kes mahkamah ahli politik perlu disambung tanpa tangguh, kata C4

NGO anti-rasuah berkata ia penting lebih-lebih lagi menjelang keputusan untuk mengadakan undi percaya bagi kerajaan baharu pada 19 Dis ini.

Ahli Parlimen yang masih mempunyai kes di mahkamah termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.
PETALING JAYA:
Prosiding jenayah berterusan terhadap ahli politik atas dakwaan penyalahgunaan kuasa perlu diteruskan tanpa penangguhan atau campur tangan, kata kumpulan anti-rasuah.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, ini penting dalam membina keyakinan orang ramai kerana ia akan menunjukkan tiada tempat untuk rasuah dalam pentadbiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Sangat penting (kes mahkamah) ini diteruskan tanpa penangguhan atau campur tangan, tidak kira parti politik mereka atau sebarang sokongan Parlimen yang mereka berikan, khasnya selepas keputusan Anwar untuk mengadakan undi percaya terhadap kerajaan baharu pada 19 Dis ini.

“Seperti biasa, C4 akan terus memupuk dasar kerajaan terbuka di pelbagai peringkat pentadbiran melalui pembaharuan sektor awam dan meningkatkan penyertaan orang ramai dalam perbincangan anti-rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen yang mempunyai kes di mahkamah termasuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi DAP Lim Guan Eng, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

C4 berkata, bulan-bulan mendatang merupakan ujian bagi kerajaan perpaduan Anwar dalam menilai komitmen mereka terhadap tadbir urus baik dan agenda reformasinya.

Ia turut mengulangi kesediaannya bekerjasama dengan kerajaan dan menyediakan kepakaran atau bantuan dalam memastikan pembaharuan itu dilaksanakan.

Kumpulan itu berkata, ada keperluan mendesak untuk menggubal Akta Perolehan bagi menyelia proses perolehan awam dan perbelanjaan kerajaan.

C4 berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Kebebasan Maklumat diperlukan, manakala Akta Rahsia Rasmi serta Akta Pengisytiharan Aset perlu dimansuhkan.

“Pentadbiran terdahulu juga memberi jaminan rang undang-undang pembiayaan politik akan dibentangkan tidak lama lagi. Tiada alasan untuk pentadbiran baharu menangguhkannya lagi.”

Katanya, mentadbir dengan telus dan penuh akauntabiliti perlu demi kepentingan kerajaan serta negara susulan kelemahan kerajaan terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.