
Jurucakap Gabungan Kedaulatan Negara, Azlan Awang, berkata pihaknya kecewa dengan keputusan itu kerana ia memberi implikasi besar terhadap ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat yang dibuat tanpa libat-urus ekstensif orang awam dan masyarakat serta kajian kos serta manfaat mengenainya tidak dibahaskan di Parlimen.
“Kami juga berpendapat bahawa kajian kos dan manfaat yang disediakan terlalu sempit dan bias terhadap pencapaian dari segi eksport dan pelaburan yang hakikatnya tidaklah begitu besar dan signifikan; serta terlalu fokus kepada manfaat tanpa mengkaji secara mendalam kos dan risiko.
“Persetujuan CPTPP seharusnya dikaji dengan lebih terperinci sebelum kita meratifikasikannya,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada wakil perdana menteri di Perdana Putra hari ini.
Kumpulan itu merayu kerajaan pimpinan Anwar supaya melakukan beberapa pendekatan antaranya menangguhkan penyertaan CPTPP buat masa ini dengan menarik balik notis meratifikasi.
Katanya, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh ahli akademik dan pakar ekonomi tempatan untuk mengkaji semula cost-benefit penyertaan dalam CPTPP dan mereka mengesyorkan beberapa ahli akademik yang boleh dijemput menganggotai jawatankuasa itu.
“Kerajaan juga diminta membentangkan penemuan jawatankuasa ini di Dewan Rakyat dan secara umum supaya ia dapat dibahas secara mendalam sebelum keputusan diambil dan berharap perdana menteri akan mengambil berat terhadap isu ini dan memastikan perkara ini dikaji secara mendalam sebelum keputusan muktamad diambil,” katanya.
Azlan berkata, jika Malaysia meratifikasikan CPTPP, sukar untuk negara keluar daripada perjanjian itu, walaupun Malaysia secara teori boleh buat sedemikian.
“Kemudaratan yang tidak dapat dibaik pulih mungkin telah berlaku dan akan terus memberi impak kepada syarikat Malaysia, petani, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan rakyat,” katanya
Memorandum yang diserahkan kepada perdana menteri itu ditandatangani 24 pakar ekonomi, 57 NGO, 10 kesatuan sekerja dan 52 individu.
Antara pakar dan NGO terlibat ialah Jomo Kwame Sundaram, Nungsari Ahmad Radzi, Rajah Rasiah, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Aliran Kesedaran Negara (Aliran), Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Pada 5 Okt Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bawah pimpinan Mohamed Azmin Ali mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju meratifikasi CPTPP dan secara rasminya menyerahkan instrumen ratifikasi untuk perjanjian perdagangan itu kepada New Zealand sebagai depositari CPTPP pada 30 Sept lalu.
Kementerian itu berkata, analisis kos-manfaat ke atas unjuran jumlah dagangan Malaysia dijangka meningkat kepada USD655.9 bilion pada 2030 menerusi CPTPP.