Sultan Johor tiba di Istana Negara

Sultan Johor tiba di Istana Negara

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hadir bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-Raja.

Kenderaan Sultan Ibrahim tiba di Istana Negara hadir pada 9.40 pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Konvoi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba di Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat khas bersama Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja-Raja yang lain.

Kenderaan Sultan Ibrahim tiba pada 9.40 pagi tadi.

Semalam dilaporkan bahawa Sultan Abdullah dijangka meminta pendapat Majlis Raja-Raja hari ini mengenai kebuntuan yang berterusan dalam usaha membentuk kerajaan persekutuan.

Mesyuarat itu dijangka diadakan pada 10.30 pagi.

Selepas Sultan Johor, beberapa Sultan negeri lain turut tiba di Istana Negara. Difahamkan, hanya Sultan Kelantan tidak hadir.

Raja-Raja Melayu mengadakan mesyuarat khas hari ini selepas tiada mana-mana gabungan mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) Sabtu lepas.

Terdahulu, 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dititahkan untuk menghadap Agong semalam, susulan pertemuan baginda dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, hanya dua Ahli Parlimen hadir menghadap Agong, iaitu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Mohamad Hasan, diiringi Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir, yang bukan Ahli Parlimen.

Agong sebelum ini mencadangkan PH dan PN bersama-sama membentuk kerajaan perpaduan, tetapi cadangan ini ditolak Muhyiddin Yassin, yang menegaskan PN tidak akan bekerjasama dengan PH.

Susulan mesyuarat malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi Umno memutuskan ia akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, namun bukan yang dipimpin PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.