Polis nafi berlaku ‘rusuhan’ di pejabat Umno Lenggong

Polis nafi berlaku ‘rusuhan’ di pejabat Umno Lenggong

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri mengesahkan dakwaan yang berkait penggabungan antara BN dan PH membentuk kerajaan negeri itu sebagai palsu.

Beberapa gambar tular di Twitter dengan keterangan mendakwa berlaku ‘situasi panas’ di hadapan Pejabat Umno Lenggong adalah palsu, kata polis Perak. (Gambar Twitter)
PETALING JAYA:
Polis menafikan dakwaan berlakunya rusuhan serta perhimpunan haram dalam kalangan ahli Umno di pejabat parti itu di Lenggong yang dikaitkan dengan penggabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri, mengesahkan bahawa kononnya berlaku situasi seakan rusuhan berkenaan tuntutan yang mendesak pimpinan tertinggi tidak adakan kerjasama dengan PH, sebagai palsu.

“(Ia) palsu. Esok (hari ini) saya akan buat sidang media (mengenainya). Terima kasih,” katanya ringkas ketika dihubungi melalui WhatsApp, menurut Berita Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa gambar tular di Twitter dengan keterangan menyatakan berlaku ‘situasi panas’ di hadapan Pejabat Umno Lenggong apabila akar umbi Umno Bahagian itu bangkit menolak penghinaan BN kerana dikatakan ‘tersungkur sujud’ di kaki DAP.

Bagaimanapun, semakan mendapati, gambar dengan keterangan palsu itu menyamai gambar yang dimuat naik di Facebook rasmi Jabatan Penerangan Daerah Hulu Perak, Pusat Maklumat Rakyat Hulu Perak.

Berdasarkan keterangan gambar dimuatnaik Jabatan Penerangan Daerah Hulu Perak, ia berkenaan suasana di luar Pusat Penjumlahan Rasmi Undi P.055 Lenggong di Dewan Merdeka Lenggong pada waktu penjumlahan undi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tengah malam 19 November lalu.

“[Terkini] 12.50 pagi: Suasana di luar Pusat Penjumlahan Rasmi Undi P.055 Lenggong di Dewan Merdeka, Lenggong,” menurut keterangan asal gambar terbabit.

Berdasarkan gambar terbabit, kelihatan sekumpulan orang ramai selain anggota polis dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada di lokasi terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.