
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, mengikut Perlembagaan, DUN Pulau Pinang akan tamat pada 2 Ogos 2023 dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
“Bagaimanapun, isu ini akan diserahkan kepada majlis pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebab ia juga melibatkan dua negeri PH yang lain, iaitu Selangor dan Negeri Sembilan, manakala negeri di bawah PAS mungkin ada pertimbangan mereka.
“Kita terbuka untuk rundingan jika semua negeri ini setuju, maka boleh diadakan pada tarikh sama. Tapi terpulang kepada PH dan PN (Perikatan Nasional) untuk tentukannya,” katanya dalam sidang media di sini.
Tambahnya, tempoh tamat DUN Pulau Pinang mengikut Perlembagaan adalah lima tahun, bermula daripada tarikh pertama DUN bersidang selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, maka DUN akan terbubar sendiri sebab sudah genap lima tahun.
Sebelum ini, Majlis Presiden PH mengambil keputusan tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS turut tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu serta Kedah pada pilihan raya umum ke-15.