Ketua Muslimat PAS Pianggu calon PN DUN Tioman

Ketua Muslimat PAS Pianggu calon PN DUN Tioman

Nor Idayu Hashim, 35, yang merupakan suri rumah dipilih dalam kalangan pimpinan akar umbi bagi mewakili suara wanita dalam DUN Pahang.

Ketua Muslimat PAS cawangan Pianggu Nor Idayu Hashim dinamakan sebagai calon PN bagi kerusi DUN Tioman pada PRU15 awal Disember ini. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Ketua Muslimat PAS cawangan Pianggu Nor Idayu Hashim dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yang akan diadakan awal Disember ini.

Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah berkata Nor Idayu, 35, yang merupakan suri rumah dipilih dalam kalangan pimpinan akar umbi bagi mewakili suara wanita dalam DUN Pahang.

“Beliau (Nor Idayu) juga seorang muslimat dalam kalangan pemimpin wanita tempatan dan orang muda yang berupaya menyelami isi hati akar umbi,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Nor Idayu anak kelahiran Felda Jengka 13 di Maran dekat sini, berkelulusan diploma dalam bidang perakaunan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, Kelantan.

Beliau juga merupakan Ketua Lajnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) Rompin dan memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Rompin.

Beliau merupakan isteri kepada Ketua Pemuda PAS DUN Tioman Muhammad Daud dan mempunyai tiga anak.

PRU15 bagi DUN Tioman yang sepatutnya diadakan pada 19 Nov lepas, ditangguhkan susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli pada 3.30 pagi pada hari pengundian pilihan raya tersebut.

Ia sepatutnya melibatkan pertembungan lima penjuru antara penyandang kerusi itu Mohd Johari Hussain yang mewakili Barisan Nasional (BN), Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (Pejuang) dan Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH).

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Dis ini untuk hari pengundian bagi DUN Tioman, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 24 Nov dan hari pengundian awal 3 Dis.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk pilihan raya itu mengandungi seramai 28,465 pemilih yang terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.