Dr M tumpu tulis buku sejarah, sedih Pejuang kalah

Dr M tumpu tulis buku sejarah, sedih Pejuang kalah

Pengerusi Pejuang itu berkata partinya hanya boleh melihat arah pemerintahan pihak yang menang selepas tiada wakilnya menang pilihan raya.

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berdoa kerajaan akan dapat memulihkan segala masalah dihadapi negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad mahu menumpukan kepada penulisan mengenai sejarah dan aktiviti dalam negara selepas partinya tewas di semua 125 kawasan ditandingi, pada pilihan raya umum.

Katanya, beliau sedih dengan kekalahan dialami, namun menerima pilihan rakyat.

“Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang. Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi kerajaan Malaysia akan dapat pulih segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

“Saya sendiri akan tumpu kepada penulisan berkenaan dengan sejarah dan aktiviti dalam negara. Sesungguhnya banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum pun direkod, termasuk apa yang berlaku di zaman British,” katanya dalam kenyataan.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir bukan sahaja tumpas di Parlimen Langkawi, malah hilang deposit selepas sekadar meraih 4,566 undi daripada keseluruhan 48,123 undi dalam pertembungan lima penjuru. Kerusi berkenaan dimenangi Mohd Suhaimi Abdullah dari Perikatan Nasional menerusi majoriti 13,518 undi.

Pemimpin kanan Pejuang lain yang turut hilang deposit termasuk anaknya, Mukhriz yang kalah di Jerlun dan Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Marzuki Yahya (Sungai Petani).

Mahathir ketika mengulas lanjut, berkata beliau berharap pihak yang menang pada PRU15 akan mendirikan kerajaan baharu.

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam dewan. Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksa lah digugur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.