
Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, daripada jumlah itu, pihaknya membuka 28 kertas siasatan, namun tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, iaitu menyamar sebagai pengundi sebenar, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak lebih RM5,000,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Beliau berkata, kes itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 76 laporan diterima polis di negeri ini sepanjang tempoh pelaksanaan PRU15 antara 5 hingga 19 Nov lepas.
Daripada jumlah itu, katanya, 43 kertas siasatan dibuka dan empat kes diselesaikan selepas empat individu dituduh di mahkamah.
Beliau berkata, pihaknya juga menerima satu laporan berkaitan sebuah video tular menerusi media sosial melibatkan seorang pemimpin parti politik yang didakwa menyentuh sensitiviti agama.
Selain Pulau Pinang, katanya, lapan laporan turut diterima negeri lain, iaitu tiga di Kuala Lumpur, dua di Perak dan masing-masing satu laporan di Pahang, Kelantan serta Sabah.
“Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.”