
Antara pemimpin BN yang dilihat memasuki bangunan itu termasuk Presiden MCA Wee Ka Siong, Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani.
Ahli akar umbi PKR dari Gombak dan Rembau turut kelihatan, serta Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor Zainol Abidin Mohamed.
Zainol berkata, kehadirannya bersama ahli akar umbi yang lain adalah untuk menzahirkan sokongan terhadap kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN.
“Kehadiran beberapa anggota dan Ahli Parlimen pun ada, jadi kita (datang) untuk zahirkan sokongan dan tunjuk kebersamaan,” katanya.
Dakwanya, lebih 1,000 orang ahli akar umbi telah berkumpul di bangunan Umno dan Hotel Seri Pacific sejak pagi tadi.
Semalam, Pengerusi PH dan Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesahkan pihaknya dan BN sedang berunding untuk membentuk kerajaan persekutuan bersama.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi tempoh sehingga 2 petang hari ini kepada pemimpin parti dan gabungan untuk mencadangkan calon perdana menteri masing-masing.