Komponen parti terikat undang-undang anti-lompat, kata Azalina

Komponen parti terikat undang-undang anti-lompat, kata Azalina

Bekas menteri undang-undang itu berkata parti komponen tidak boleh meninggalkan gabungan sedia ada atau Ahli Parlimen terpaksa mengosongkan kerusi mereka.

Azalina Othman Said berkata, undang-undang anti-lompat tidak membezakan antara gabungan politik dan parti politik. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komponen parti gabungan terikat dengan undang-undang anti-lompat dan tidak boleh meninggalkan gabungan sedia ada atau Ahli Parlimen itu terpaksa mengosongkan kerusi mereka, kata bekas menteri undang-undang, Azalina Othman Said.

Dalam kenyataannya, Azalina berkata, undang-undang anti-lompat secara tersirat membenarkan parti berpindah secara ‘en bloc’ dari satu gabungan ke gabungan lain. Bagaimanapun, ia tidak membezakan sama ada antara gabungan politik dan parti politik.

“Implikasinya di sini adalah sekiranya gabungan sedia ada bertanding di bawah satu logo dan mengemukakan satu manifesto bersama pada pilihan raya umum, dan lebih utama, sekiranya calon mereka menerima watikah bertanding daripada pemimpin gabungan politik masing-masing, gabungan ini bagi semua maksud dan tujuan merupakan parti politik mengikut undang-undang anti-lompat.

“Jadi, mana-mana komponen parti yang mahu meninggalkan gabungan politik sedia ada seperti dijelaskan di atas perlu mengosongkan kerusi mereka kerana mereka sudah berpaling tadah daripada parti politik,” katanya.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua Ahli Parlimen gabungan itu perlu mematuhi keputusan Dewan Tertinggi BN mengenai pembentukan kerajaan.

Terdahulu, Zahid yang juga presiden Umno, berkata semua Ahli Parlimen BN sudah menandatangani akujanji sebelum pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang memberikannya mandat menentukan rundingan dengan mana-mana gabungan politik bagi menubuhkan kerajaan.

Pada PRU15, Sabtu lalu, menyaksikan BN hanya menang 30 kerusi, jauh ketinggalan di belakang Pakatan Harapan (PH) 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi.

Tidak lama selepas itu, berlaku perbincangan antara PH dan BN bagi membentuk kerjasama membentuk kerajaan. Gabungan kerusi daripada kedua-dua parti itu menjadikan mereka mencapai 112 kerusi, majoriti mudah membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin BN tampil mengemukakan bantahan untuk bekerjasama dengan PH, termasuk Setiausaha Bendahari BN, Hishammuddin Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong.

Dalam pada itu, Azalina juga berkata, ia tidak akan melanggar Perlembagaan dan kebebasan berpersatuan bagi Ahli Parlimen tidak lagi menjadi anggota parti gabungan, sekali gus hilang kerusi Parlimen sekiranya mereka tidak mematuhi arahan yang mengikut lunas undang-undang anti-lompat.

“Dalam prose memperkenalkan undang-undang anti-lompat, wakil rakyat dalam sidang Parlimen sudah meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berpersatuan, untuk menyekat kebebasan berpersatuan bagi Ahli Parlimen sejajar undang-undang anti-lompat.

“Implikasinya di sini adalah Ahli Parlimen terikat dengan arahan parti dan tidak lagi menjadi ‘ejen bebas’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.