ADUN Sanglang Shukri Ramli angkat sumpah MB Perlis

ADUN Sanglang Shukri Ramli angkat sumpah MB Perlis

Mohd Shukri Ramli yang juga pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli yang juga pesuruhjaya PAS Perlis mengangkat sumpah sebagai menteri besar hari ini. (Gambar Facebook)
ARAU:
ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis yang baharu hari ini.

Shukri, 61, menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada 4 petang.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

Pelantikan pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai menteri besar dipersetujui kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

Shukri yang juga pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada pilihan raya umum ke-15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.