Saravanan tak tolak idea kerajaan campuran BN-PH

Saravanan tak tolak idea kerajaan campuran BN-PH

Timbalan presiden MIC itu berkata pembentukan kerajaan campuran boleh diterima demi kestabilan.

M Saravanan yang berjaya mempertahankan Parlimen Tapah, berkata beliau terbuka menerima idea membentuk kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan tidak menolak idea pembentukan kerajaan campuran antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menurut Berita Harian, Saravanan yang mempertahankan Parlimen Tapah, berkata pembentukan kerajaan campuran antara BN dan PH itu boleh diterima demi kestabilan pentadbiran.

“Kita di sini untuk melihat pihak mana yang akan disokong (bagi pembentukan kerajaan persekutuan).

“Pertemuan ini bagi membincangkan pihak mana yang akan membentuk kerajaan untuk kerajaan yang stabil,” menurut laporan itu.

Saravanan berkata, pihaknya menghadiri pertemuan di Hotel Seri Pacific selepas menerima jemputan daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hari ini, pemimpin PH dan BN tiba untuk bermesyuarat di hotel Seri Pacific, kira-kira 10 pagi.

Antara yang berjaya dilihat media termasuk Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, lapor Malaysia Gazette.

Presiden Amanah Mohamad Sabu juga dilihat tiba di hotel itu.

Istana Negara telah memberitahu pemimpin parti dan ketua gabungan untuk mencadangkan calon perdana menteri, menjelang 2 petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.