Peja dapat peranan baharu selepas kalah pilihan raya

Peja dapat peranan baharu selepas kalah pilihan raya

Ahmad Faizal Azumu dijangka mengetuai perundingan membentuk kerajaan baharu Perak.

Ahmad Faizal Azumu tumpas kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam saingan di Tambun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Ahmad Faizal Azumu dipercayai sedang mengorak langkah untuk membentuk kerajaan baharu negeri itu.

Beliau dijangka mengetuai perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) dalam usaha menubuhkan kerajaan gabungan.

Spekulasi berhubung peranannya sebagai ketua perunding timbul selepas tewas dalam saingan di Parlimen Tambun kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Faizal yang lebih dikenali sebagai Peja, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PN Perak Razman Zakaria, berkata pihaknya hanya mahu berunding dengan BN sahaja bagi menubuhkan kerajaan negeri baharu, sekali gus menolak kerjasama dengan PH.

Faizal berkata, pertandingan mempertahankan Tambun dengan Anwar disifatkan sengit dan rancak. “Saya harap Anwar akan memainkan peranannya sebagai Ahli Parlimen Tambun secara serius dan melihat kepada keperluan kawasannya. Ia merupakan kawasan Parlimen besar dan sentiasa memerlukan perhatian.”

PN menang 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di mana 17 dikuasai PAS dan 9 dimenangi Bersatu. PH pula menang 24 kerusi, manakala BN menang sembilan (Umno 8 dan MCA 1).

Kerajaan negeri boleh dibentuk menerusi majoriti mudah, 30 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.