Kiandee gugur jadi wakil Bersatu dalam MT PN

Kiandee gugur jadi wakil Bersatu dalam MT PN

Naib presiden Bersatu yang sealiran dengan Hamzah Zainudin digantikan rakan sejawat Radzi Jidin, sebelum ini meletak jawatan sebagai ketua penerangan PN.

Ronald Kiandee
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee antara pemimpin kanan parti sealiran dengan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin yang dipecat Bersatu pada 13 Feb.
PETALING JAYA:
Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee digugurkan sebagai wakil parti itu dalam Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN).

Kiandee, yang sealiran dengan bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, digantikan rakan sejawatnya, Naib Presiden Radzi Jidin, yang sebelum ini meletak jawatan sebagai ketua penerangan PN.

Kiandee mengesahkan perkara berkenaan apabila dihubungi FMT.

Wakil lain bagi Bersatu dalam MT PN ialah seorang lagi Naib Presiden, Ahmad Faizal Azumu.

Faizal dan Radzi sedang menjalankan fungsi sebagai timbalan presiden Bersatu dan mereka sealiran dengan Presiden Muhyiddin Yassin.

MT PN mengadakan mesyuarat yang menjadi tumpuan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada 3 petang ini, bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan dan melantik penggantinya.

Muhyiddin juga akan menghadiri mesyuarat itu.

Jawatan pengerusi PN kosong sejak 1 Jan selepas peletakan Muhyiddin.

Sejak itu, PAS menuntut jawatan tersebut walaupun Presiden Hadi Awang menolak mengambil alih atas faktor kesihatan, selain Muhyiddin berpendapat pengerusi PN sepatutnya dilantik dalam kalangan presiden parti komponen.

Baru-baru ini, Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mendakwa Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) bersetuju untuk PAS menerajui gabungan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.