Dijangka lebih banyak desakan minta Zahid berundur, kata penganalisis

Dijangka lebih banyak desakan minta Zahid berundur, kata penganalisis

Menurut penganalisis, desakan tersebut bukan sesuatu yang baru dibuat sebaliknya telah lama 'kedengaran' sebelum PRU15 berlangsung.

Semalam, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, Ahmad Zahid Hamidi perlu “berjiwa besar” meletakkan jawatan utama dalam parti itu, seperti dilakukan Najib Razak pada 2018.
JOHOR BAHRU:
Lebih banyak lagi gesaan dijangka akan dibuat dalam masa terdekat untuk meminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan susulan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Izani Mohd Zain, berkata desakan tersebut, bukan sesuatu yang baru dibuat sebaliknya telah lama ‘kedengaran’ sebelum PRU15 berlangsung.

Bagaimanapun, beliau berkata prestasi mengecewakan yang dicapai semalam, menjadi dorongan lebih kuat terhadap gesaan agar figura tersebut berundur.

“Walaupun kekalahan ini adalah tanggungjawab bersama dalam Umno, tetapi presiden harus ambil tanggungjawab, seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada PRU lepas.

“Bukan sahaja di Johor tetapi lebih banyak tempat lagi akan melakukan hal sama,” kata ketika dihubungi Bernama semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai beberapa pandangan daripada Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin-pemimpin Umno Johor semalam.

Mohd Izani berpandangan, Ahmad Zahid mungkin perlu berehat daripada menjalankan tugas presiden atau melantik Timbalan Presiden parti tersebut Mohamad Hasan, memangku jawatan tersebut sehingga pemilihan Umno yang akan datang.

Beliau berkata kenyataan Menteri Besar Johor itu dilihat sebagai satu tindakan yang membawa suara dan aspirasi pemimpin muda dalam Umno, untuk membawa perubahan kepada parti.

Ditanya berkenaan pencapaian BN yang hanya mampu menambah satu kerusi daripada lapan kepada sembilan di negeri Johor, katanya ia menunjukkan penguasaan Pakatan Harapan masih lagi besar di Johor.

Mohd Izani juga melihat momentum kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Mac lepas, tidak dapat dikekalkan atas faktor peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab itu lebih tinggi selain pengenalan Undi 18.

Beliau juga menyifatkan pengundi muda kini lebih celik dan mengambil tahu kepentingan sebagai pengundi untuk negara, sekali gus menyifatkan ‘gelombang’ pengundi muda sebagai antara faktor utama terhadap perubahan landskap politik.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Mujibu Abd Muis berkata Johor bukan sahaja negeri yang memulakan gesaan untuk Ahmad Zahid meletakkan jawatan.

Bagi negeri yang memperolehi lebih dua pertiga majoriti kemenangan ketika pilihan raya negeri Mac lepas, tetapi masih kalah teruk pada PRU15, menampakkan satu prestasi yang buruk.

Beliau berkata tsunami Melayu yang tidak mengundi BN serta pengundi luar adalah antara faktor kekalahan BN selain faktor Ahmad Zahid sendiri.

“BN kalah teruk juga antara sebab ialah kegagalan beliau (Ahmad Zahid) menyantuni oligarki dalam Umno, dan juga kegagalan beliau untuk menyusun strategi selepas ketiadaan ‘Bossku’ (Najib Razak).

“Bila faktor Bossku itu (hilang), seolah-olah tiada ikon kebangkitan dan tiada satu penarik yang boleh jadi ‘boost’ seperti di Pilihan Raya Negeri dan sebagainya,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Negeri Sembilan itu.

Beliau berkata justeru itu, prestasi buruk BN pada PRU15 seharusnya memperlihatkan presiden Umno itu meletakkan jawatan tanpa perlu didesak.

Terdahulu, Onn Hafiz dalam kenyataan di Facebook berkata perubahan perlu dilakukan kerana ramai pemimpin Umno, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi, terkorban kerana tindakan tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.