
KUALA LUMPUR :Umno mengadakan mesyuarat Biro Politik hari ini susulan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada mana-mana gabungan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian.
Beberapa pemimpin Umno dilihat tiba di perkarangan Menara Dato’ Onn di sini bagi menghadiri mesyuarat tersebut.
Antaranya termasuk Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Ab Rauf Yusoh dan Johari Abdul Ghani, serta Setiausaha Kerja Mohd Sumali Reduan.
Ketua Perhubungan Umno Sabah Bung Moktar Radin turut hadir.
Mesyuarat MKT Umno turut dijangka diadakan pada 3 petang nanti dan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 8 malam ini.