Paling ramai menteri tumbang pada PRU15

Paling ramai menteri tumbang pada PRU15

Seramai lapan menteri ditolak pengundi, sekali gus gagal mempertahankan kerusi mereka semalam.

(Dari kiri) Khairy Jamaluddin, Tengku Zafrul Aziz dan Azmin Ali antara lapan menteri yang kecundang dalam PRU15.
PETALING JAYA:
Pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menyaksikan paling ramai menteri yang masih berkhidmat hilang kerusi, digugurkan daripada senarai calon atau menarik diri secara sukarela.

Pengundi menolak lapan menteri yang mewakili Umno, Bersatu, PBS dan Parti Bersatu Malaysia (PBM).

Tiga menteri itu datang daripada Umno, iaitu Khairy Jamaluddin (kesihatan), Tengku Zafrul Aziz (kewangan) dan Reezal Merican Naina Merican (perumahan dan kerajaan tempatan)

Bersatu pula membabitkan Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri), Ahmad Faizal Azumu (belia dan sukan), Rina Harun (pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat).

Zuraida Kamaruddin daripada PBM (perusahaan perladangan dan komoditi), Maximus Ongkili daripada PBS (hal ehwal Sabah dan Sarawak) turut termasuk dalam senarai itu.

Tidak ketinggalan ialah Presiden MIC, SA Vigneswaran yang merupakan duta khas perdana menteri ke Asia Selatan yang bertaraf menteri.

Sebelum penamaan calon, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi mengugurkan tiga menteri daripada senarai calon, iaitu Annuar Musa (komunikasi dan multimedia), Noh Omar (pembangunan usahawan dan koperasi) dan Shahidan Kassim (Wilayah Persekutuan).

Bagaimanapun, Shahidan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan berjaya mempertahankan Parlimen Arau.

Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar daripada Bersatu juga tewas di Bandar Tun Razak, manakala Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Rashid Hasnon gagal mempertahankan kerusi Batu Pahat.

Menteri yang menarik diri daripada bertanding adalah Wan Junaidi Tuanku Jaafar daripada PBB (undang-undang) dan Mustapa Mohamed daripada Bersatu (hal ehwal ekonomi).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.