RASMI: Hasni tumpaskan Maszlee di Simpang Renggam

RASMI: Hasni tumpaskan Maszlee di Simpang Renggam

Keputusan rasmi menyaksikan Hasni Mohammad (tiga dari kiri) menang dengan majoriti 1,821 undi.

Hasni Mohammad daripada BN diumumkan sebagai pemenang kerusi Parlimen Simpang Renggam.
SIMPANG RENGGAM:
Keputusan rasmi di Parlimen Simpang Renggam menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Hasni Mohammad berjaya merampas kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH) selepas memperoleh 18,312 undi.

Beliau bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan kelebihan 1,821 undi.

Calon PH kerusi itu, Maszlee Malik memperolehi 16,491 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN) Mohd Fazrul Kamat, 9,077 undi dan calon Gabungan Tanah Air (GTA) 251 undi.

Hasni berkata, kemenangannya di Simpang Renggam adalah permulaan yang baik.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya BN Johor berkata, namun kemenangan sembilan kerusi Parlimen daripada 17 yang disasarkan di negeri itu adalah memeranjatkan.

“Kita hormati keputusan itu dan saya yakin dan percaya dalam keadaan di mana tiada satu parti yang boleh secara bersendirian menubuhkan kerajaan bererti presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) tentu akan ambil tanggungjawab atas keadaan kita hadapi hari ini,” katanya ketika ditemui di pusat pengiraan undi Dewan Muafakat Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Simpang Renggam.

Beliau berharap akan ada satu kerajaan dapat dibentuk supaya terus memastikan masa depan rakyat di negara ini terbela.

Mengulas lanjut, Hasni mendapati di Simpang Renggam, bagi saluran orang muda dan pengundi kali pertama lebih cenderung menyokong parti selain BN.

Katanya, BN Johor akan mengambil maklum keadaan itu.

Hasni berkata, di peringkat negeri beliau melihat pengundi bukan Melayu tidak bersama BN.

“Secara majoritinya, pengundi muda dan pengundi pertama kali juga merupakan golongan besar peratusnya tidak bersama BN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.