Proses pengundian di seluruh negara lancar, kata KPN

Proses pengundian di seluruh negara lancar, kata KPN

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram.

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses pengundian yang lancar dan tenang menunjukkan masyarakat semakin matang dalam proses pengundian.
KUALA LUMPUR:
Proses pengundian pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung di seluruh negara hari ini berjalan lancar dan terkawal walaupun terdapat kesesakan di beberapa pusat pengundian pada awalnya, kata Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata tiada sebarang provokasi yang dikesan sepanjang proses berkenaan berlangsung.

“Semua pengundi melaksanakan pengundian dengan penuh berhemah, tenang dan tenteram dan ini menunjukkan masyarakat kita semakin matang dalam proses pengundian.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang keluar mengundi kerana telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata berdasarkan tinjauannya pada sebelah pagi mendapati orang ramai berpusu-pusu keluar untuk menunaikan tanggungjawab mereka, namun keadaan mula reda menjelang tengah hari apabila pengundi tidak lagi beratur hingga ke luar pagar pusat mengundi.

Turut hadir, Pengarah Operasi PRU15 PDRM, Hazani Ghazali, Ketua Polis Daerah Gombak, Zainal Mohamed Mohamed dan Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi.

Daftar pemilih pilihan raya (DPPR) yang digunakan untuk PRU15 mengandungi seramai 21,173,638 orang pemilih yang terdiri daripada 20,853,681 orang pengundi biasa, 146,737 orang tentera serta pasangan, 118,794 orang polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan dan 2,741 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.