Pengantin mengundi selepas majlis perkahwinan

Pengantin mengundi selepas majlis perkahwinan

Lee Choy Yoong bersama suaminya, Jacky Har mengundi di SK Taman Muda selepas majlis perkahwinan mereka.

Lee Choy Yoong memakai gaun pengantin ketika mengundi di SK Taman Muda di Pandan. (Gambar Utusan Malaysia)
PETALING JAYA:
Sepasang pengantin baharu dari Taman Muda bergegas ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, beberapa jam selepas majlis perkahwinan mereka.

Utusan Malaysia melaporkan kehadiran Lee Choy Yoong, 30, dan suaminya, Jacky Har, 30, yang diiringi 10 rakan, menarik perhatian ramai sejurus mereka tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muda kira-kira 12 tengah hari.

Lee yang merupakan penganalisis kewangan anggun memakai gaun putih bersama suaminya yang menggayakan sut berwarna coklat.

Pengundi di pusat mengundi turut mengucapkan tahniah kepada pasangan itu.

Bagaimanapun, hanya Lee yang menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi hari ini kerana suaminya yang merupakan anggota keselamatan sudah menunaikan tanggungjawab lebih awal pada Selasa lalu.

Menurut Lee, pengalaman mengundi kali ini berbeza dengan kali pertama pada 2018 disebabkan kesibukan menguruskan perkahwinan.

“Tetapi saya lega kerana keluarga dan sanak saudara cukup memahami situasi kami yang terpaksa bergegas selepas selesai upacara minum teh pagi tadi.

“Majlis makan malam perkahwinan pada 8 malam nanti bertambah meriah apabila tetamu bukan saja meraikan penyatuan kami, malah pembentukan kerajaan baharu Malaysia,” katanya yang dipetik akhbar itu.

Katanya, beliau bersiap seawal 4.30 pagi tadi untuk menguruskan persiapan terakhir perkahwinan, termasuk untuk bersolek.

“Tarikh 19 Nov ini cukup bermakna buat kami dan kami mendoakan Malaysia lebih makmur serta sejahtera dengan pembentukan kerajaan baharu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.