Kerajaan tak peduli, penduduk ganding bahu tangani banjir

Kerajaan tak peduli, penduduk ganding bahu tangani banjir

Penduduk Taman Sri Langat mengumpul dana untuk membeli pam air bagi menyalurkan air bertakung keluar.

Sobri Taib menunjukkan bagaimana pam air menyalurkan air banjir keluar.
KAJANG:
Penduduk Taman Sri Langat di sini mendapat pengajaran penting daripada banjir yang melanda kawasan itu tahun lepas. Jika mereka mahu mengelak berlaku lagi bencana, mereka perlu berbuat sesuatu sendiri.

Ini susulan aduan penduduk kepada pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat tidak didengari.

Tahun ini, penduduk di kawasan kejiranan berbilang kaum itu bersama menyumbang untuk membeli dua pam air bagi menyalurkan air bertakung keluar ke Sungai Langat yang terletak berhampiran.

Mereka mengutip dana dari rumah ke rumah untuk membeli pam pertama pada Januari.

“Kami tidak tetapkan jumlah (sumbangan). Orang beri apa yang mereka mampu. Namun, setiap sumbangan bernilai,” kata seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Lee.

Salah satu daripada pam air yang dibeli penduduk Taman Sri Langat selepas mengumpul dana sesama mereka.

Lelaki berusia 64 tahun itu berkata, ada penduduk yang menyumbang ribuan ringgit, nilai yang rendah untuk kebaikan jangka panjang.

Lee yang menetap di Taman Sri Langat selama 35 tahun mengenali segelintir penduduk yang mengalami kerugian mencecah RM100,000 apabila harta benda mereka rosak akibat banjir.

Namun, ada juga penduduk yang keberatan untuk membiayai pam air itu, menurut seorang penduduk bernama Kak Noor.

“Ada yang suruh kami minta wang daripada YB (ADUN Kajang Hee Loy Sian). Kerajaan Selangor hanya berikan RM500 dan dua tilam kepada setiap isi rumah,” katanya mengenai bantuan rasmi.

Sejak pam pertama dibeli pada Januari, Taman Sri Langat tidak lagi dilanda banjir. Sekalipun begitu, para penduduk membeli pam kedua pada Ogos dan membina rumah pam bernilai RM57,000 untuk melindungi peralatan daripada kerosakan dan kecurian.

Selain mengumpul dana, penduduk menggunakan jengkaut milik dua kontraktor, yang juga penduduk kawasan itu, untuk membantu menyediakan tapak rumah pam, menurut Sobri Taib.

Penduduk Taman Sri Langat membina rumah pam.

“Kami menulis kepada pihak berkuasa beberapa kali tetapi tiada tindakan diambil. Jadi kami putuskan untuk buat sendiri,” kata Sobri, 39, yang menetap di kawasan itu selama 10 tahun.

Hasil usaha mereka, penduduk Taman Sri Langat berkata, mereka dapat tidur dengan lena sekalipun Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat.

Kumpulan itu juga memasang CCTV di beberapa rumah bersebelahan longkang monsun untuk memantau paras air setiap kali hujan lebat.

Mereka juga mewujudkan “jalan keluar kecemasan” agar penduduk dapat keluar dari kawasan kejiranan tersebut apabila paras air meningkat.

Penduduk berkata, mereka akan terus bekerjasama dan menyelenggara pam.

“Tak boleh letak nilai pada nyawa keluarga kami dan rumah kami di sini. Kami akan buat apa yang kami mampu untuk jamin keselamatan kawasan kejiranan ini,” kata Sobri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.