Jentera BN perlu bawa keluar 90% pengundi ‘putih’, kata Tok Mat

Jentera BN perlu bawa keluar 90% pengundi ‘putih’, kata Tok Mat

Timbalan Pengerusi BN berkata ia bagi memastikan kemenangan milik gabungan itu.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan dan isteri Raja Salbiah Tengku Nujumudin selesai mengundi di SJKC Chung Hua, Rantau. (Gambar Bernama)
REMBAU:
Barisan Nasional (BN) menggesa semua jentera di seluruh negara mengeluarkan seramai mungkin pengundi kategori “putih” untuk memastikan kemenangan milik gabungan itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, berkata keutamaan parti ialah membawa keluar pengundi yang telah menunjukkan sikap dengan menyokong BN.

“Jadi ini penting dan saya telah mengeluarkan arahan kepada semua jentera, supaya berupaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 90% pengundi dikategorikan sebagai putih.

“Ini akan dapat menentukan kemenangan kita, itulah strategi kami gunakan dalam PRK (pilihan raya kecil) dan PRN (pilihan raya negeri) dan jelas hasilnya amat baik,” katanya selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad berkata beliau yakin urusan untuk mengeluarkan pengundi putih yang dikenal pasti akan dapat diuruskan dengan baik.

“Tiada guna jika parti menulis dalam buku pengundi putih tetapi tidak mampu mengeluarkan mereka

“Saya berharap jentera parti di pecutan terakhir untuk keluarkan pengundi putih seramai mungkin dan kepada pengundi seluruh negara supaya keluar menunaikan tanggungjawab,” katanya yang juga calon BN Parlimen Rembau.

Pada saingan kali ini, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat berhadapan saingan lima penjuru antaranya Nazree Yunus daripada Perikatan Nasional (PN); Jufitri Joha (Pakatan Harapan); S Tinagaran (PSM) dan Ramly Awalluddin (Pejuang).

Parlimen Rembau sebelum ini dimenangi Khairy Jamaluddin selama tiga penggal sebelum beliau dipindahkan ke Sungai Buloh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.