
“Dunia makin hari makin maju, cukup petugasnya… saya fikir kira undi bukan terlalu sulit, harap tak perlu tunggu sampai tengah malam,” katanya selepas melaksanakan tanggungjawab mengundi di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Ihtidaiyah Tambun Height.
Terdahulu, Faizal bersama isteri, Nomee Ashikin Mohammed Radzi menjadi pengundi pertama membuang undi bagi kerusi DUN Hulu Kinta dan Parlimen Tambun.
Mengulas mengenai peluangnya berdepan seteru utama, Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH), Faizal menyifatkan beliau sebagai “ultraman” yang mampu menumbangkan “godzilla”.
“Peluang nampak positif, melawan ‘godzilla’, saya ‘ultraman’,” katanya.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga calon PN DUN Tioman, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada 3.30 pagi tadi akibat komplikasi jantung.
Faizal yang juga timbalan presiden Bersatu bertembung empat penjuru di Tambun dengan Anwar, Aminuddin Md Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).
Parlimen Tambun mempunyai 155,802 pengundi berdaftar, iaitu paling ramai di Perak dengan 37 daerah mengundi.