2 wanita Orang Asli jalan kaki 15km untuk mengundi

2 wanita Orang Asli jalan kaki 15km untuk mengundi

Perjalanan yang memakan masa selama 30 minit itu dilalui dua beradik itu untuk mengundi bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Pengundi dari suku kaum Orang Asli beratur untuk mengundi di pusat pengundian Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan. Dua beradik dari suku Temiar itu berjalan kaki ke pusat pengundian tersebut. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Alah bisa tegal biasa, begitulah ibaratnya semangat kental dua wanita Orang Asli suku kaum Temiar yang memilih untuk berjalan kaki sejauh 15km ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, di sini hari ini.

Perjalanan dilalui dua beradik itu bagi menunaikan tanggungjawab untuk mengundi bagi kerusi Parlimen Gua Musang.

Abok Jurai Rudin, 29, bersama kakaknya Andak Rudin, 38, berjalan melalui laluan balak sambil mengendong anak lelaki keduanya yang berusia empat bulan, Mangroi Seni.

Menurut Abok yang datang dari Kampung Jias C, dia keluar rumah seawal 7.30 pagi untuk mengelakkan kesesakan di luar pusat mengundi tersebut.

“Saya membuat perancangan awal kerana tidak ingin bersesak bersama bayi yang mempunyai kulit sensitif dengan haba dan cuaca panas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SK Kuala Betis.

Bagi Andak, mereka lebih selesa memilih untuk berjalan kerana menjangkakan akan menghadapi kesesakan di pusat mengundi sejurus selesai membuat undian.

“Kami sudah biasa berjalan kaki ke destinasi yang lebih jauh, jadi berjalan ke SK Kuala Betis yang jarak hanya 15km sahaja tidak menjadi masalah bagi kebanyakan penduduk di sini.

“Lagipun kami melalui laluan alternatif iaitu jalan balak, jadi perjalanan menjadi lebih singkat dan dapat mengelakkan bahang panas jalan tar,” katanya.

Setibanya mereka di SK Kuala Betis, Abok bersama bayinya diberikan laluan khas untuk pendaftaran ke saluran bagi melakukan undian.

Pada masa yang sama, proses pengundian bagi Andak berjalan lancar dan hanya memerlukan kira-kira 15 minit untuk selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.