2 wanita maut sebelum dan selepas undi di Johor

2 wanita maut sebelum dan selepas undi di Johor

Mangsa pertama meninggal dunia ketika menunggu gilirannya, manakala mangsa kedua maut selepas mengundi akibat sesak nafas.

SPR Johor mengesahkan kematian kedua-dua pengundi pemilih itu dalam kejadian berlaku di Paloh dan Johor Bahru.
PETALING JAYA:
Dua wanita meninggal dunia secara berasingan, sebelum dan selepas mengundi di Paloh serta Johor Bahru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor berkata, Tuminah Ambiah, 85, meninggal dunia ketika menunggu giliran untuk mengundi di saluran satu.

Warga emas itu menghembuskan nafas terakhir di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lit Terk, Paloh pada 10.21 pagi tadi. Kematiannya disahkan petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian.

Seorang lagi pengundi, Sh Juhara Syed Mohamad, 57, meninggal dunia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor Bahru pada 9.30 pagi, selepas mengundi di saluran satu bagi Parlimen Pulai.

“Kematian mangsa dilaporkan berlaku selepas mengundi, apabila mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas. Pengundi itu hadir ke saluran satu dalam keadaan tidak sihat hasil pemerhatian petugas saluran, tapi ingin meneruskan pengundian,” lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat mengesahkan kejadian yang menimpa Sh Juhara dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah serta kesan pergelutan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati si mati bersama suami hadir ke lokasi dan selepas keluar dari bilik mengundi, Sh Juhara mengadu penat dan semput.

“Sh Juhara duduk sebentar dan berjalan lebih kurang 100m, kemudian duduk semula di atas lantai. Kemudian suaminya minta bantuan pihak SPR untuk mendapatkan kerusi roda, namun apabila kembali semula, beliau mendapati Sh Juhara tidak bernafas.”

Beliau berkata, Sh Juhara menghidap darah tinggi, kencing manis dan disyaki mengalami masalah jantung serta paru-paru berair.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.