PKR akan fail petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin atas dakwaan ‘Kristianisasi’

PKR akan fail petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin atas dakwaan ‘Kristianisasi’

Rafizi Ramli memberi amaran kepada pengerusi PN itu bahawa beliau boleh hilang kelayakan, jika berjaya mempertahankan kerusi Pagohnya esok.

Rafizi Ramli berkata, klip video yang didakwa memaparkan Muhyiddin Yassin itu boleh mengancam ketenteraman awam serta menimbulkan ketegangan antara orang Melayu dan bukan Melayu.
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli memberi amaran kepada Muhyiddin Yassin bahawa dakwaannya berhubung kumpulan “mengkristiankan Malaysia” boleh menyebabkan beliau terpaksa mengosongkan Parlimen Pagohnya, jika berjaya mempertahankan kerusi itu esok.

Mendakwa bekas perdana menteri itu mencetuskan ketegangan kaum dan agama, Rafizi berkata, PKR bercadang memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin, yang dalam misi mempertahankan kerusi Pagoh buat penggal kesembilan esok.

“Video itu boleh mengancam ketenteraman awam dan khususnya mencetuskan ketegangan antara orang Melayu dan bukan Melayu,” katanya pada sidang media.

Dalam rakaman ceramah yang tular baru-baru ini, pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata “sangat bahaya” untuk PH kembali berkuasa, sambil mendakwa beliau melihat satu video sekumpulan Yahudi yang “ditaja” oleh pembangkang.

Bekas perdana menteri itu juga mempersoalkan sama ada akan berlakunya “proses Kristianisasi”, dan mendakwa “agenda mereka” adalah ingin menjadikan Malaysia menjadi satu daripada “koloninya”.

“Saya telah arahkan (pasukan peguam PKR) bersedia sepenuhnya untuk memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin di Pagoh, julung kali dalam sejarah,” kata Rafizi.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya jelas menyatakan kempen tidak boleh menggunakan kandungan yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama, tetapi setahu saya, sehingga kini, tiada petisyen pilihan raya yang difailkan untuk cuba membawa akauntabiliti terhadap ahli politik yang (mencetuskan) sentimen perkauman (ketika berkempen).”

Mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mereka yang disabitkan bersalah membuat kenyataan menggalakkan niat jahat, rasa tidak puas hati atau permusuhan antara kaum sama atau berbeza perlu mengosongkan kerusi mereka, jika menang.

Mereka yang disabitkan bersalah di bawah seksyen itu berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya. Mereka juga tidak dibenarkan mengundi atau bertanding dalam pilihan raya sehingga lima tahun, selepas didapati kesalahan.

Rafizi berkata, Ketua Pemuda PKR, Adam Adli akan membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan ke atas video Muhyiddin itu mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana kenyataan boleh mengancam ketenteraman awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kandungan menyinggung perasaan yang disiarkan dalam talian.

Dalam rakaman itu juga, Muhyiddin mendakwa ada orang Melayu ke gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada Ahad.

Majlis Gereja Malaysia membidas Muhyiddin atas dakwaan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.