
Amin Zulfikar, 30, berkata beliau ragu-ragu dengan janji ahli politik kerana apabila banjir besar melanda tahun lepas, badan bukan kerajaan (NGO) yang cepat bertindak balas.
Dia percaya Mohamad Sabu, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen itu untuk Pakatan Harapan (PH), tidak akan menang dengan majoriti besar kali ini.
“Mustahil,” kata penunggang penghantar itu apabila ditanya mengenai peluang Mohamad untuk menang besar pada Sabtu.
“Jangan lupa, semasa banjir, ahli politik lambat. Kebanyakan bantuan datang daripada NGO. Itulah sebabnya saya kecewa.”
Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, menang dengan majoriti 71,142 undi. Beliau memperoleh 90,697 undi, menewaskan pesaing terdekatnya, Mohamed Diah Baharun, calon PAS yang hanya mendapat 19,555 undi.
Fadil Jamaluddin, 52, berkata Mohamad mempunyai peluang lebih baik untuk menang kerana kebanyakan pengundi di kawasan itu “fanatik PH”.
“Walaupun jarang dilihat di lapangan semasa banjir, saya rasa beliau akan tetap menang, tetapi bukan dengan mudah,” kata juruteknik itu yang menambah, pengundi tidak biasa dengan calon lain.
Seorang lagi penduduk, Jefry Abdullah, 56, berkata, isu marhaen menjadi kebimbangan utama kini.
“Apa yang dapat calon-calon tawarkan? Majoriti kami golongan B40, berpendapatan rendah. Kami tak pasti sama ada boleh tampung kehidupan pada masa depan, dengan gaji seperti sekarang ini.
“Kami tak pasti sama ada ekonomi akan jadi lebih baik atau buruk selepas pilihan raya,” katanya.
Jefry berkata, ahli politik sering bercakap mengenai isu negara, tetapi rakyat yang terperangkap dalam kemiskinan tidak dapat mengaitkan diri dengan isu-isu itu kerana mereka lebih fokus mencari rezeki.
“Mungkin golongan berpendapatan tinggi (T20) berminat dengan isu negara, tetapi kami tidak,” katanya.
Shahrul Redzhairi, 25, menyebut tentang kurangnya keterujaan dalam kempen PRU15 di Taman Sri Muda.
“(Suasana kempen) membosankan di sini,” katanya.
Beliau berkata, ahli politik cenderung “mengitar semula isu” yang langsung tidak memberi manfaat kepada pengundi.
“Saya rasa apa yang kami benar-benar ingin dengar ialah manifesto yang boleh jadi kenyataan.”
Pada PRU15, Kota Raja menyaksikan pertembungan lapan penjuru membabitkan Mohamad, Fahmi Bazlan (Gerakan Tanah Air), D Kajendran (Barisan Nasional), Mohamed Diah Baharun (Perikatan Nasional), Sarah Afiqah Zainol Arif (Parti Rakyat Malaysia) dan tiga calon bebas.