Nasi Arab, pencuci mulut dan Paracetamol percuma buat pengundi PRU15

Nasi Arab, pencuci mulut dan Paracetamol percuma buat pengundi PRU15

Tujuan peniaga memberi tawaran itu untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.

Pemilik platform vendor pencuci mulut Pondok Kueh, Liyana Abdul Rahman bersama lebih 80 vendor pembuat kek dan pastri menawarkan 250 pencuci mulut kepada pengundi pada Ahad ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bermacam-macam tawaran diberikan kepada pengundi esok, terbaharu sebuah klinik di Ampangan, Seremban menawarkan Paracetamol secara percuma sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Peniaga di Johor tidak ketinggalan menawarkan nasi Arab dan pencuci mulut percuma kepada pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada PRU15.

Pengarah Urusan Klinik Penawar, Zaid Al Helmi Mohd Yunus dipetik Harian Metro berkata, sebanyak 10,000 Paracetamol disediakan bagi meningkatkan kesedaran rakyat untuk keluar mengundi dan memeriahkan suasana PRU15 selepas negara bebas daripada perintah kawalan pergerakan (PKP).

Katanya, pengundi hanya perlu menunjukkan jari yang dicelup dengan dakwat sebagai bukti kepada petugas klinik untuk menebus satu papan Paracetamol bermula 8 pagi sehingga habis.

“Dalam keterujaan kita pergi mengundi, kami sebagai pusat perubatan juga mahu sampaikan mesej kepada masyarakat supaya jangan lupa untuk terus jaga kesihatan dan sebab itu kita tawarkan Paracetamol percuma,” katanya menurut akhbar itu.

Beliau berkata, pihaknya menyedari kesukaran orang ramai mendapatkan Paracetamol yang difahamkan mendapat permintaan tinggi beberapa bulan ini ekoran penularan Covid-19.

Bagi menggalakkan kakitangannya mengundi, klinik itu turut memberi saguhati wang tunai RM100 kepada pekerjanya yang menunaikan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, pemilik Restoran Al-Hanin di Pasir Gudang, Zulrahim Yusof, 50, menyediakan nasi Arab mandy ayam bungkus kepada 200 pelanggan pertamanya esok dan diskaun 15% kepada pelanggan yang menjamu selera di dalam restorannya sepanjang esok.

Katanya, mereka hanya perlu menunjukkan jari berdakwat sebagai bukti menunaikan kewajipan sebagai pengundi.

“Saya lihat sekarang orang ramai, terutama generasi muda, ada yang tidak mementingkan peranan ini, jadi ini merupakan sebahagian cara yang saya harap serba sedikit dapat menjadi ‘penarik’ untuk keluar mengundi pada Sabtu ini,” katanya menurut Bernama.

Pemilik platform vendor pencuci mulut Pondok Kueh, Liyana Abdul Rahman, 35, yang beroperasi di Taman Perling di Johor Bahru berkata, beliau bersama lebih 80 vendor pembuat kek dan pastri menawarkan 250 pencuci mulut seperti kek percuma sebagai penghargaan kepada pengundi.

“Pengikut dan pelanggan kami majoriti terdiri daripada golongan muda, jadi kami mahu mewujudkan keseronokan atau rasa teruja kepada mereka sempena hari mengundi,” katanya dipetik Bernama, sambil menambah pelanggan boleh menebus tawaran itu pada Ahad ini.

Tinjauan Bernama di media sosial mendapati ramai peniaga termasuk jenama terkenal seperti Tealive Asia, Old Town White Coffee dan Marrybrown turut menawarkan diskaun untuk esok, dengan pelanggan hanya perlu menunjukkan bukti jari berdakwat tanda sudah mengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.