Di Pokok Sena, pengundi akan buat pilihan ‘pada saat akhir’

Di Pokok Sena, pengundi akan buat pilihan ‘pada saat akhir’

Mahfuz Omar akan cuba mempertahankan kerusi itu buat penggal keempat, tetapi segelintir pengundi tidak pasti sama ada mereka akan mengundinya semula.

Mahfuz Omar daripada PH telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena selama tiga penggal.
ALOR SETAR:
Menjelang hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) esok, pengundi di Pokok Sena rata-ratanya masih tidak pasti siapa yang mereka mahukan sebagai Ahli Parlimen.

Mahfuz Omar daripada Pakatan Harapan (PH) akan cuba mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena buat penggal keempat, tetapi segelintir pengundi tidak pasti sama ada mereka akan mengundinya semula.

Pemilik kedai runcit Kee Boon Loh berkata, beliau masih tidak pasti siapa yang akan diundinya.

Salah seorangnya ialah Kee Boon Loh, 49, yang mengundi naib presiden Amanah itu pada PRU lalu.

“Saya belum pasti (nak undi siapa). Tunggulah saat-saat akhir nanti, kita lihat,” kata pemilik kedai runcit itu.

Kee berkata, kempen pilihan raya di Pokok Sena tidak ghairah, malah beliau tidak tahu siapa pencabar Mahfuz daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Warisan.

Penjual kuih Nor Mariah Bakar berkata, ahli politik hanya pandai menabur janji pada musim pilihan raya.

Penjual kuih Nor Mariah Bakar berkata, walaupun akan mengundi esok, beliau masih belum memutuskan siapa yang akan dipilihnya.

Beliau kecewa dengan ahli politik yang membuat janji semasa pilihan raya dan tidak menepatinya selepas itu, katanya.

“Mereka janji macam-macam perkara yang bagus, tetapi selepas dipilih, tiada apa (yang dilaksanakan),” kata wanita berusia 47 tahun itu.

Beliau bagaimanapun berharap Ahli Parlimen Pokok Sena yang akan datang akan lantang bersuara mengenai kenaikan kos sara hidup.

Amin Baharom, 39, berkata beliau berkemungkinan besar akan mengundi PH, seperti yang dilakukannya pada PRU14.

“Saya lihat Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya (pemimpin) yang dapat bantu ekonomi pulih,” kata pemilik restoran itu.

Penjual akhbar Sasi Varathajo, daripada Kampung Yoi, berkata beliau juga berkemungkinan besar akan mengundi Mahfuz.

Sambil menyifatkan dirinya sebagai pengundi “atas pagar” yang tidak mengundi pada PRU14, lelaki berusia 32 tahun itu berkata, Mahfuz mudah didekati dan mengambil berat tentang isu masyarakat luar bandar.

Penjual buah-buahan Mad Isa Che Mat, 67, berkata beliau akan mengundi PN kerana beliau penyokong PAS.

Sebagai penyokong PAS, penjual buah-buahan Mad Isa Che Mat berkata, beliau memilih PN.

Mad Isa, dari Kampung Tok Keling, berkata beliau memilih PN kerana kepimpinan Muhyiddin Yassin, yang disifatkannya sebagai seorang yang alim, anak seorang ustaz.

“Beliau pemimpin yang bagus. Saya pernah terima bantuan tunai (Bantuan Prihatin Nasional) ketika kerajaannya mentadbir. Selepas Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri, saya tak terima sebarang bantuan,” katanya.

Mahfuz berdepan Noraini Md Salleh (Warisan), Ahmad Yahaya (PN) dan Noran Zamini Jamaluddin (BN) dalam persaingan di kerusi Parlimen Pokok Sena.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.